Ahad, 22 Mac 2009

Menyemai seni teater dari akar umbi..

Seni teater adalah cabang kepada pembentukan disiplin yang baik. Ilmu-ilmu teater dapat membentuk sikap dan jatidiri yang positif. Ini secara tidak langsung dapat membantu individu untuk menjadi insan yang berkebolehan dalam komunikasi atau penyampaian karekteristik dan yakin pada diri sendiri. Untuk itu, seni teater amat sesuai diterapkan kepada akar umbi.

Bila kita membicarakan tentang akar umbi, kita melihat kepada prospektif yang menjurus kepada lingkaran umur 6-18 tahun. Ini kerana pada usia ini, penerapan minat dapat ditimbulkan dalam seni teater. Jika kita mengkaji dengan lebih dekat, kita mendapati tidak ramai individu pada peringkat akar umbi ini memahami atau menjiwai teater. Malah mereka secara spontan akan menyamai teater adalah sama dengan drama, sketsa atau pentomen. Kita tidak boleh mempersalahkan mereka kerana itulah persepsi mereka ketika ini. Yang bersalah ialah mereka yang mendalami, memperjuang, mempunyai ilmu pengetahuan dan berpengalaman dalam teater! Bukan niat menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sekadar renungan, berapa ramaikah dari penggiat seni teater yang telah berusaha memartabatkan teater di peringkat akar umbi.

Beberapa cadangan boleh dinilai atau dibahaskan untuk meningkatkan martabat seni teater dikalangan akar umbi:
1- Adakan sekurang-kurangnya 2 atau 3 pertandingan teater diperingkat sekolah-sekolah. Kewangan menjadi masalah? Apa gunanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesenian dan Warisan yang mempunyai peruntukan tertentu untuk program-program yang berfaedah seperti ini.
2- Penggiat-penggiat seni teater perlu berani menerobos ke sekolah-sekolah untuk menjadi mentor dalam kelab teater. Jika kita benar-benar seorang pejuang teater, wang dan masalah bukan halangan. Semua itu akan berjaya jika kita ikhlas!
3- Pada setiap kali terdapatnya persembahan teater, pihak yang terbabit perlu bertindak dengan proaktif dalam mempromosikan teater-teater di sekolah. Tawarkan harga seminimum yang boleh bagi memastikan peluang kepada akar umbi untuk melihat persembahan teater dengan lebih dekat. Atau boleh adakan persembahan bergerak untuk mendekatkan teater dengan negeri-negeri, tidak semestinya di Istana budaya semata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan