Selasa, 23 Jun 2009

Pelajar ASWARA di STAD

Pada 20/6/09, Kelab Teater Astana Seni mencipta lembaran baru dalam sejarahnya. Ini kerana seramai 6 orang pelajar dan seorang pensyarah dari ASWARA telah hadir ke sekolah STAD untuk memberi didikan yang berguna kepada ahli kelab. ASWARA hadir dengan kapasiti memenuhi pengajian mereka iaitu 'Teater dalam Pendidikan'. Kelas tersebut juga dihadiri lebih 30 orang pelajar yang terdiri dari tingkatan 1-5.

Hasil dari kelas tersebut, ahli-ahli kelab dapat melihat dengan lebih dekat dan belajar secara formal mengenai teater. Mereka juga didedahkan dengan latihan-latihan khusus bagi meningkatkan keyakinan diri serta mencipta karekter untuk menjadi pelakon teater sebenar. Persembahan teater ringkas oleh ASWARA juga dapat memperlihatkan dengan lebih jelas mengenai perbezaan antara teater, drama, sketsa atau pentomen.

cikgu suhasni: Terima kasih kepada ASWARA kerana sudi hadir memberi ilmu pengetahuan mengenai dunia teater kepada Kelab Teater Astana Seni. Semoga kehadiran ASWARA akan memberi impak kepada ahli-ahli kelab.

Ahad, 14 Jun 2009

Tahniah...Mana Setangginya

1- Alhamdulillah pada 13/6/09 yang lalu saya berkesempatan untuk melihat persembahan Mana Setangginya dipertik dari karya agung Sasterawan Negara ke-7, Noordin Hassan. Teater arahan Zaifri Husin serta dilakonkan oleh beberapa pelakon hebat negara seperti Shaharudin Thamby, Azizah Mahzan, Tony Eusoff, Sabrina Ali dan artistana Istana Budaya. Saya juga memberi penghormatan khusus kepada semua krew yang terlibat dalam pementasan tersebut. Syabas diucapkan!
2- Saya telah dijemput oleh seorang sahabat yang juga pelakon teater Mahsuri, Mustam Mustafa (Panglima Hitam) untuk melihat teater Mana Setangginya kerana beliau memberi gambaran kepada saya bahawa teater tersebut mempunyai kejutan yang belum pernah saya tontoni. Terima kasih juga kepada Kak Zi (Azizah Mahzan) serta Kak K (K Maria) dan Abang Yus (Yusmanja Production) kerana memberi peluang kepada saya hadir menyaksikan persembahan tersebut.
3- Mana Setangginya boleh diibaratkan mempunyai maksud yang penuh tersirat dan makrifat. Ini kerana jika hanya mahu melihat dengan spontan tanpa meliat dengan mata hati maka jiwa kita akan tercari-cari hakikat disebalik jalan penceritaan tersebut. Pada hemah saya Mana Setangginya adalah ilusi kepada sebuah realiti. Watak dan perwatakan dalam teater tersebut bersifat nasihat dan peringatan kepada kita terutama dengan apa yang berlaku dalam situasi kenegaraan pada hari ini. Setiap bibit skripnya membuatkan kita sedar bahawa nilai norma insan akan terhapus dek kerana kuasa dan kekayaan yang didambakan sehingga kita terlupa kepada tanggungjawab kepada Yang Maha Esa dan sarwajagatnya.

Ahad, 22 Mac 2009

Menyemai seni teater dari akar umbi..

Seni teater adalah cabang kepada pembentukan disiplin yang baik. Ilmu-ilmu teater dapat membentuk sikap dan jatidiri yang positif. Ini secara tidak langsung dapat membantu individu untuk menjadi insan yang berkebolehan dalam komunikasi atau penyampaian karekteristik dan yakin pada diri sendiri. Untuk itu, seni teater amat sesuai diterapkan kepada akar umbi.

Bila kita membicarakan tentang akar umbi, kita melihat kepada prospektif yang menjurus kepada lingkaran umur 6-18 tahun. Ini kerana pada usia ini, penerapan minat dapat ditimbulkan dalam seni teater. Jika kita mengkaji dengan lebih dekat, kita mendapati tidak ramai individu pada peringkat akar umbi ini memahami atau menjiwai teater. Malah mereka secara spontan akan menyamai teater adalah sama dengan drama, sketsa atau pentomen. Kita tidak boleh mempersalahkan mereka kerana itulah persepsi mereka ketika ini. Yang bersalah ialah mereka yang mendalami, memperjuang, mempunyai ilmu pengetahuan dan berpengalaman dalam teater! Bukan niat menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sekadar renungan, berapa ramaikah dari penggiat seni teater yang telah berusaha memartabatkan teater di peringkat akar umbi.

Beberapa cadangan boleh dinilai atau dibahaskan untuk meningkatkan martabat seni teater dikalangan akar umbi:
1- Adakan sekurang-kurangnya 2 atau 3 pertandingan teater diperingkat sekolah-sekolah. Kewangan menjadi masalah? Apa gunanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesenian dan Warisan yang mempunyai peruntukan tertentu untuk program-program yang berfaedah seperti ini.
2- Penggiat-penggiat seni teater perlu berani menerobos ke sekolah-sekolah untuk menjadi mentor dalam kelab teater. Jika kita benar-benar seorang pejuang teater, wang dan masalah bukan halangan. Semua itu akan berjaya jika kita ikhlas!
3- Pada setiap kali terdapatnya persembahan teater, pihak yang terbabit perlu bertindak dengan proaktif dalam mempromosikan teater-teater di sekolah. Tawarkan harga seminimum yang boleh bagi memastikan peluang kepada akar umbi untuk melihat persembahan teater dengan lebih dekat. Atau boleh adakan persembahan bergerak untuk mendekatkan teater dengan negeri-negeri, tidak semestinya di Istana budaya semata.

Jumaat, 20 Mac 2009

TEATER DAN 2009

Salam sejahtera kepada peminat-peminat teater tanah air...
Tahun 2009 merupakan tahun yang sangat bertuah kepada dunia teater negara kita kerana boleh dikatakan pementasan teater samada di I.B (istana budaya) mahupun pusat kebudayaan seluruh negara sangat meriah. Ini menunjukkan potensi yang positif dan dinanti-nantikan oleh para peminat teater khususnya.

Persembahan teater yang telah dan akan dipentaskan seperti Puteri Gunung Ledang, Mahsuri dan sebagainya telah menarik ramai peminat-peminat teater hadir menyaksikan pementasan tersebut. Semoga penggiat-penggiat seni teater terus berusaha meningkatkan usaha dalam mengembalikan kegemilangan teater.

Adalah diharapkan akan muncul banyak lagi pementasan teater untuk tahun ini.

Sabtu, 21 Februari 2009

Kolaborasi Astana Seni dengan Badrul Muhayat


Baru-baru ini, Cikgu Suhasni telah berkesempatan bertemu dengan seorang pelakon yang tidak asing lagi iaitu Badrul Muhayat (BAD). Pertemuan yang berlaku semasa Cikgu Suhasni dijemput membuat ulasan dan pemerhatian semasa perjalanan mesyuarat parti di Perak. Hasil perbincangan ringkas yang dilakukan bersama BAD, beliau secara ikhlas bersetuju untuk membantu Kelab Teater Astana Seni dalam memberikan motivasi serta mendedahkan pengalaman dalam lakonan.
Terima kasih kami ucapkan semoga apa yang dirancangkan agar menjadi kenyataan. Kami Semua bersemangant tinggi untuk bertemu dan belajar dengan BAD.
* Cikgu Suhasni bersama BAD

Tahniah Tan Sri Jins Shamsuddin

Semua warga seni dari Kelab Teater Astana Seni ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima Anugerah Seniman Negara ke-8 iaitu Tan Sri Jins Shamsuddin dan penerima tokoh teater negara ibu Fauziah Nawi. Terima kasih juga kepada kerajaan khususnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di atas usaha yang proaktif untuk mengiktiraf anak-anak seni tanah air. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga seni untuk mengembangkan bakat seni yang dikurniakanNya.

Khamis, 15 Januari 2009

SALAM PERKENALAN...

Kelab Teater Astana Seni ditubuhkan pada 9 Januari 2009. Diasaskan oleh Cikgu Suhasni Hayani yang merupakan guru penasihat bagi kelab ini seterusnya merangkap Pengerusi Kelab Teater Astana Seni. Awalannya ditubuhkan bagi menarik minat para pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam seni teater SMK Tunku Ampuan Durah.

Semoga Astana Seni menyinari seni budaya dalam aspirasi negara.